You are here:: Home
 
 

Peranan Pendidikan

E-mail Cetak PDF

Penurunan lima ayat pertama daripada surah al-‘Alaq telah berjaya merevolusikan pemikiran Arab Jahiliyyah. Sebaik sahaja perkataan Iqra’ dilafazkan dan dituruti dengan dua puluh tiga tahun pendidikan secara langsung yang bersifat rabbani telah berjaya membentuk tasawwur yang menjadi tunjang kepada setiap tindakan masyarakat Islam terdahulu. Tasawwur ini telah mengubah dan membentuk kepercayaan, peribadi, pemikiran, ide, dan pengamalan mereka dan berhasil mencorakkan masyarakat di atas satu sistem yang memberi kebaikan kepada semua. Sistem yang menjamin masyarakat Islam di atas maqasid shari’ah juga menitik beratkan hak dan tanggung jawab masyarakat bukan Islam sebagaimana yang termaktub di dalam Sahifah al Madinah. Di atas persefahaman sebegini telah terbentuk satu kesepakatan dan kerjasama di antara setiap anggota masyarakat yang terdiri dari pelbagai etnik dan agama.

Berikutnya, satu tamadun agung telah terhasil yang didasari oleh satu budaya ilmu yang sungguh mengkagumkan. Usaha sama di antara Muslim, Yahudi, Nasrani, Nestorian, Syriac, Majusi yang terdiri dari bangsa Arab, Parsi, Turki, Rum, Yunani dan juga India telah meninggalkan satu warisan intelektual yang tidak ternilai. Perkembangan dalam setiap disiplin ilmu samada dari ilmu wahyu atau ilmu aqal menjadi asas kepada disiplin ilmu yang terdapat pada hari ini. Ilmu bukan sahaja menjadi nadi kepada segenap cabang kehidupan malah ia didukung oleh usaha pendidikan yang bermula dengan ahl al-Suffah dan berkembang kepada maktab atau kuttab, majlis, halaqah dan akhirnya madrasah. Akademi seperti Bait al-Hikmah dan Dar al-‘Ilm, perpustakaan, bimaristan (hospital), saloon dan balai cerap sebagai pusat ilmu mendapat tajaan dan naungan para pemerintah dan begitu juga ‘ulama’ (scholars). ‘Ulama’ yang dilahirkan selain dapat menguasai kedua-dua cabang ilmu, keilmuan mereka bersifat multi disiplin dan inter disiplin. Malah ramai di antara mereka yang diiktiraf sebagai ensaiklopedik. Peranan ‘ulama’ (scholars) adalah sebagai pembimbing, penyelesai masalah, dan peneroka kepada pelbagai bidang yang baru. Warisan intelektual peninggalan mereka telah menjadi pencetus kepada era pembaharuan (renaissance) di Barat khususnya dari khazanah ilmu di Toledo dan Cordova Toledo. Di sinilah terdapatnya terjemahan, pengkayaan, serta pengolahan ilmu menurut tasawwur Islam dalam bahasa Arab terhadap ilmu yang diwarisi dari tamadun lain khususnya Yunani (Greek).

Berbalik kepada masyarakat hari ini, satu usaha perlu dilakukan untuk mendidik masyarakat mengenai peranan Islam dalam membentuk peribadi dan membina tamadun di atas kesedaran bahawa pendidikan adalah landasan terpenting dalam membina sesebuah masyarakat yang berilmu dan bertamadun. Peranannya adalah untuk menyokong usaha-usaha mengislahkan masyarakat di atas prinsip-prinsip sejagat yang selari dengan tuntutan Syariah Islam. Oleh yang demikian, satu perancangan yang lengkap dan terperinci mengenai landasan yang terpenting ini perlu diwujudkan untuk menghasilkan hala tuju dan perancangan pendidikan yang bergerak di atas satu falsafah yang komprehensif. Peranan pendidikan dalam membina tamadun ialah melahirkan satu generasi baru yang mampu mengenengahkan penyelesaian yang sebenar bagi permasalahan kontemporari masyarakat Islam. Penyelesaian ini mesti lahir dari lubuk khazanah intelektual Islam yang satu tapi punya kepelbagaian. Mana-mana tamadun yang tandus dari kandungan intelek yang original dijangka akan dikesampingkan. Metodologi dan teknik pengajaran-pembelajaran terutamanya bagi subjek pengajian Islam perlu menyimpang jauh dari kaedah tradisi pengumpulan maklumat dan mengeluarkan semula teks-teks yang dihafal. Keluaran pendidikan hari ini tidak hanya perlu mempunyai pemikiran dan tingkahlaku Islam yang tersendiri tetapi yang lebih penting lagi mereka bersifat kreatif dan inovatif dalam mengaplikasi dan menterjemahkan prinsip-prinsip dan konsep-konsep Islam dalam keadaan yang sering berubah.

Sumber : http://wanummi.blogspot.com/